23 May 2013

Surat Cinta Buat Si Manis

Assalamu'alaikum.


Kepada si manis wanita peliharaan Allah S.W.T.,

Mengapa dirimu sering bersedih dengan ujian yang sedang dilalui? Mengapa matamu yang jernih itu sering dibasahi air mata untuk seseorang yang tidak mendatangkan manfaat kepadamu? Usahlah dibazirkan air matamu itu demi sesuatu yang tidak bermakna dan merugikan diri sendiri. Apakah kamu telah lupa kepada Pemilik nyawa?

Sekarang, kamu pejamkan mata dan rasailah gerak hati yang bersih. Dapatkah dirimu rasakan yang Dia bersama dan sedang memujuk dan memelukmu erat bersama dengan kalimah suci yang terangkum menjadi satu kitab cinta umat Islam yakni Al-Quran? Wahai si manis, ingatlah, dirimu tidak pernah keseorangan tatkala berasakan dunia ini meminggirkanmu.

Si manis sayang, ingatlah, saat dunia memandang lemah dan mengenepikanmu, Allah S.W.T. masih kekal bersama denganmu. Senafas pun Allah S.W.T. tidak meninggalkanmu. Tidakkah dirimu berasa begitu istimewa? Selangkah dirimu mendekati Dia, sehasta Dia menghampirimu. Maka, Senyumlaah wahai si manis sayangku.


Tahukah dirimu bahawa hidup ini tidak sentiasa gembira dan ceria? Setiap manusia itu pasti melalui pancaroba berdasarkan kemampuan. Mengukur kemampuan itu adalah di luar kebolehan insan, hanya Allah S.W.T. sahajalah yang mengetahui. Anggaplah bahawa ujian itu sebagai tarbiyah agar tidak alpa dalam kehidupan. Kadangkala dirimu berasa begitu lemah dan tidak mampu menanggung bebannya. Ada ketika lain dirimu berasa letih menghadapi ujian yang melanda diri sehingga air mata jernih menitis membasahi wajahmu yang mulus.

Namun wahai si manis, fahamilah hakikat seorang hamba. Allah S.W.T.  berhak ke atasmu. Suka dan duka tetap menjadi nikmat dan kurnia yang dianugerahkan. Jika ingin mengakhiri kehidupan ini dengan kebaikan, maka mulakanlah dengan langkah serta amalan yang diredhai. Seandainya dirimu memilih untuk menghabiskan sisa waktu dengan keburukan, maka sepanjang kehidupan pasti diselubungi dengan kegelapan sehingga detik nafasmu yang terakhir.


Tapi, ingatlah wahai si manis, Allah S.W.T. menurunkan setiap ujian dan dugaan itu kerana Dia tahu, kita mampu untuk menghadapi setiap satu darinya. Oleh itu, hadapilah dengan tenang dan sabar. Sesungguhnya Allah S.W.T. sentiasa bersama hamba-Nya yang sabar. Percayalah dengan kata-kata Allah S.W.T. ini kepada hambanya, yang bermaksud :

"Allah tidak akan membebani seseorang kecuali sesuai dengan kemampuannya. Dia akan mendapat pahala atas usahanya dan mendapat seksa atas kesalahannya, (lalu dia berdoa) : Ya Tuhan kami, janganlah Engkau menghukum kami jika kami lupa atau bersalah." [Al-Baqarah : 286]

Si manis harus ingat, kesusahan dan kepayahan yang dilalui hari ini akan mematangkan dan mewarnai hidupmu kelak. Malah, In shaa Allah, dirimu akan berdiri cemerlang dengan kehendak-Nya. Ingatlah kepada Al-Khaliq, Yang Maha Pencipta. Dia sentiasa berada di sisi tidak kira masa dan ketika.

Wahai si manis, hentikanlah tangisanmu. Sucikan wajahmu dengan wudhu' supaya nur kebahagiaan kembali terpancar di wajahmu. Tabah ya wahai si manis, teruskanlah perjuangan dengan penuh keyakinan. Berdoalah kepada Allah S.W.T. agar membawa pergi dukamu saat titisan air itu mengalir membasahi anggota bagi mensucikan zahir dan batinmu.

Dalam mengharungi hidup yang penuh ranjau berduri ini, dirimu akan berhadapan dengan pelbagai mehnah yang bisa menyesakkan jiwa dan mindamu. Tetapi, usah khuatir si manis, Allah S.W.T. kan ada? Berdoalah selalu dan mintalah pertolongan dituntun je jalan yang lurus agar bisa kuat selalu. Benar! Keresahan itu bisa meragut ketenangan hati. Fikiran disogok dengan kepedihan dan kenangan lalu hingga membawa minda menerawang entah ke mana dan membuatkan jiwa tidak pernah tenteram. Saat itu mulalah fikiran negatif berlegar-legar di minda. Pelbagai persoalan mulai timbul satu-persatu. Hati tidak keruan memikirkan masalah yang entah ada jalan keluar entah tidak. Sebagai insan yang lemah, Pencipta yang Maha Esa akan mula dilupakan.



Si manis, jangan. Jangan jadi seperti itu. Jangan dilupakan siapa yang menciptakan dirimu dan apakah hakikat kehidupan yang sebenarnya sebagai khalifah Allah S.W.T. di muka bumi ini. Hilangkanlah segala kesedihan. Pujuklah tangkai hati dengan janji-janji Ar-Rahman Ar-Rahim. Sesungguhnya dirimu akan berasa lebih tenang dan tenteram. Jangan menangis lagi ya? Teringat pada ayat Al-Quran yang membawa maksud :

"Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang yang beriman." ['Ali-'Imran : 139]

Wahai si manis sayang,

Andai jiwamu terhimpit dengan 1001 penyesalan, sering berasa gusar di atas kealpaan suatu ketika dahulu, bahkan masih terasa diri dipalit dosa-dosa hitam semalam, maka menangislah sepuas hatimu andai itu bisa melegakan jiwamu. Jika dirimu mengalirkan air mata keinsafan, itu lebih bermakna. Cara itu mampu mendekatkanmu dengan Rabb-mu. Mintalah keampunan dengan bersungguh-sungguh. Sesungguhnya, Allah S.W.T. Maha Pengasih lagi Maha Pengampun. 

"Wahai anak Adam, selagi engkau meminta dan berharap kepada-Ku, maka Aku mengampuni segala dosamu yang telah lalu, dan Aku tidak akan mempedulikannya. Wahai anak Adam, jika dosamu sampai setinggi langit lalu kau meminta ampun kepada-Ku, nescaya Ku-ampuni. Wahai anak Adam, jika kau datang kepada-Ku dengan kesalahan seluas permukaan bumi lalu engkau menemui-Ku tanpa menyekutukan sesuatu pun dengan-Ku, nescaya Aku datang padamu dengan keampunan seluas bumi pula." [Riwayat At-Tirmizi]

Si manis yang disayangi lagi dicintai,

Jadikan kisah silammu sebagai pengajaran yang bermakna. Sematkanlah di dalam hati supaya dirimu tidak akan sesekali mengulanginya lagi. Berpegang teguhlah dengan tali Allah S.W.T. Percaya dan yakinlah sepenuh hati bahawa Allah S.W.T. akan mengampuni dosa-dosa dan mengurniakan maghfirah buatmu. Benar, kita hamba yang lemah dan sering melakukan kesilapan. Namun, dengan kesilapan jugalah yang akan menguatkan kita.


Beruntungnya kita kerana di lahirkan menjadi seorang Muslimah. Setiap tingkah sentiasa ada pedomannya. Walaupun perkara sekecil zarah, hati akan menjadi sangat senang dan mudah dengan landasan kehidupan yang diberi petunjuk. 

Yakinlah sayang, Allah S.W.T. Maha Melihat Maha Mendengar. Tiada satu pun yang akan tersembunyi dan terlupa kerana Dia menjadi saksi segala. Hidup perlu diteruskan meski penuh dengan beribu-ribu tangisan sehingga sampai detik nyawa dicabut malaikat-Nya. Ingat! Dia tidak akan membebani setiap hamba dengan ujian yang tidak mampu dipikul oleh hamba-Nya. Sama sekali tidak akan!

Jadi, senyumlah, tabahlah dengan ujian. Memang benar, lidah berbicara petah belum tentu sendi berpahat kukuh. Pesan pada diri, jangan lupa untuk bersolat dan bersujud sepenuh hati kerana di situlah punca hidupnya hati, punca kedamaian, punca kebahagiaan. Bersedialah untuk mengejar cantiknya ufuk fajar sebelum ia terbenam dan tidak muncul kembali.


Akhir kalam buat si manis, usah terlalu merasa derita kerana kehidupan, berbahagialah menghadapi setiap ujian, merasa beruntunglah kerana telah terpilih untuk menghadapi setiap detik itu, kerana janji Tuhan itu pasti. Bahagia akan muncul di akhir nanti. 

Si maniss, ayuh! Kita ubah, biar lelah jadi lillah. :')

Ikhlas,
Aku, hamba yang masih mencari kekuatan untuk terus kuat berdiri demi mengenggam erat tali Illahi.
*Si manis : Refer to myself.

12 comments:

Mizz Aiza said...

sedih baca tulisan nis.. terasa diri ini hina kerana telah banyak melakukan dosa.. terima kasih mengingatkan diri akak yang seringkali lupa..

Unknown said...

Best sgt ! touching plk bc ..

fragmenbiru said...

Walaupun lelaki..mengalir kelembutan kedalam jiwa...

Sungguh..tersentuh dengan Rahmat Allah..betapa sayang dan kasihNya Dia kepada kita...

Kadang2 kita jauh dariNya.lupa dan alpa akan amanahnya..

Tapi..
Setelah jatuh dan derita,kita mengerti hanya KepadaNya tempat bermohon...

Satu entri yang WAJIB dibaca oleh semua Wanita mahupun Lelaki..

Si Lelaki pula dapat memahami Insan bernama Wanita..

Terima AKsih..

Anonymous said...

cantik ayat2 tu dear...

Unknown said...

betul kata2 akak..hehe..maaf ya saya baru sempat nak baca.. :)

jadi muslimah ni kira untung..mudah..cuma kalau kita tersalah langkah buruk padahnya.. ;)

Lieza Nordin said...

:') Allah sllu dgn kitaa.. :')

Fais-SKA said...

Apa yang Allah cipta, adalah yg terbaek kan :)..Allah sygkan kita..
tenangkan hati..
rehatkan minda..
dan senyum selalu..

eizz said...

tenang hati membacanya :)

Nina Ahmad said...

menyentuh jiwa bila baca entry nie.. semoga sentiasa berada dlm keadaan baik2 di samping keluarga

Latifahzainal said...

tersentuh baca nurkilan nies...menusuk dlm hati..

Mormor said...

terimakasih kak . kata2 akak banyak terkandung nasihat :'D

Unknown said...

ALLAH MAHA BESAR. sesungguhnya, apa yang pernah terjadi pada diri ini bukanlah kerana dibenci. tapi disayangi. maka sebab itulah ujian diberikan untuk menguji sejauh mana diri percaya pada perancangan Allah s.w.t ..