Dengan
nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Kini kumulakan tinta bicara,
“Aku
bersaksi tiada Tuhan melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad SAW
pesuruh Allah.”
Alhamdulillah, terima kasih yang
tidak terhingga kuucapkan kepada-Mu ya Illahi kerana Engkau masih memberi aku
peluang dan ruang untuk terus menapak teguh di atas muka bumi-Mu ini.
“Ya
Allah, dosa-dosaku seluas buih di lautan-Mu, seringkali lalai dan leka dengan
nikmat-Mu, sering mengeluh apabila dititipkan ujian di sepanjang likuan
hidupku. Allah, jarang sekali aku bersyukur dengan segala nikmat yang Kau
kurniakan kepadaku. Demi-Mu Ya Allah, sebagai persaksianku pada malam ini,
Engkau Maha Memahami dan Mengetahui apa sahaja yang terpendam dan terlintas di
segenap sudut hatiku. Engkau Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani, maka, Kau ampunilah
segala dosa-dosaku, ampunilah dosa-dosa ummi dan ayahku serta kasihanilah
mereka sebagaimana mereka telah mencurahkan sepenuh kasih dan sayang mengasuh,
menjaga dan mendidik sejak dari kecilku, ampunilah dosa-dosa saudara-maraku,
dosa-dosa guru-guruku, sahabat-sahabatku serta seluruh umat manusia yang merasai
nikmat Islam-Mu, selamatkanlah bumi Palestin, Gaza dan Syria, kentalkan
hati-hati kami berjuang demi Ad-Din-Mu. Tetapkan pendirian kami, mantapkan iman
kami, matikanlah kami dalam Iman. Sesungguhnya hanya kepada-Mu tempat kami
berserah diri. Amiin.”


Nah,
hari demi hari berlalu bagai tak terasa. Sedar tak sedar dah lebih 21 tahun aku
diberi pinjaman nikmat iman dan nyawa untuk terus menggalas sebuah tanggungjawab
sebagai khalifah Illahi di muka bumi ini. Hm, tapi secara jujurnya berapa
peratuskah tanggungjawab itu yang telah aku sempurnakan? 1 peratus? 2 peratus?
Atau tiada langsung, hanya masih tertunggak sedari awalnya? Allahu Robbi. Kadang-kadang
menerpa dalam hati kecil ini, ‘Allah, aku gagal lagi. Tolong aku.’ Tapi,
ke manakah aku campakkan nilai penyesalan yang mungkin ribuan kali pernah
menapak dalam hati. Tak pernah cuba untuk menghargai apa yang Kau beri. Bila
rasa diri lemah, baru terngadah Engkau kucari. Tapi, bila bersenang-lenang,
jarang sekali bibirku basah menyebut nama-Mu, Yaa Ilahi. Ya, itulah aku, insan
yang bergelar manusia. Yang masih terkapai-kapai dalam lautan dunia, kerapkali
hampir karam dan lemas, namun dengan Pertolongan-Mu yang Maha Luas, seringkali
Kau tarikku naik kembali ke atas. Begitulah fitrahku sebagai insani, sejauhmana
pun kucuba berlari dari Tuhanku, namun, jauh di sudut hatiku, aku terlalu
mendambakan Al-Haq dari Sang Pencipta. Ya, Al-Haq. Satu ungkapan yang amat
ringkas kiranya bila didengar, tapi padat dengan makna yang mendalam dan tersirat.
Firman Allah SWT di dalam Al-Quran,
maksudnya:
“Yang
demikian itu kerana sungguh, Allah, Dialah yang hak, dan sungguh, Dialah yang
menghidupkan segala yang telah mati, dan sungguh, Dia Mahakuasa atas segala
sesuatu.” [Al-Hajj
22:6]
Allah. Itulah kini yang amat aku rindui setiap saat, setiap ketika, setiap hembusan nafasku ini. Tidak aku nafikan, terkadang, hati ini terlalu mudah beralih arah, yakni mudah sekali hati ini terusik dengan cobaan-cobaan dunia yang dititipkan oleh Dia, yang sebenarnya bertujuan untuk menguji tahap keimananku di paras apa, namun, kujatuh. Seringkali terjatuh dan terlena dibuai kesenangan dunia. Ya, dunia yang sebenarnya penuh dengan 1001 tipu helah. Aku lah antaranya menjadi mangsa tipu dayanya. Yang seringkali terikut-ikut dengan budaya yang entah dari mana datang dan ke mana hala tujunya. Sambil aku menyelak-nyelak Manual Hidupku, Allah izinkan aku menjumpai ayat yang begitu menyentap seluruh jiwa ragaku. Begini bunyinya, Firman Allah SWT yang bermaksud :
Allah. Itulah kini yang amat aku rindui setiap saat, setiap ketika, setiap hembusan nafasku ini. Tidak aku nafikan, terkadang, hati ini terlalu mudah beralih arah, yakni mudah sekali hati ini terusik dengan cobaan-cobaan dunia yang dititipkan oleh Dia, yang sebenarnya bertujuan untuk menguji tahap keimananku di paras apa, namun, kujatuh. Seringkali terjatuh dan terlena dibuai kesenangan dunia. Ya, dunia yang sebenarnya penuh dengan 1001 tipu helah. Aku lah antaranya menjadi mangsa tipu dayanya. Yang seringkali terikut-ikut dengan budaya yang entah dari mana datang dan ke mana hala tujunya. Sambil aku menyelak-nyelak Manual Hidupku, Allah izinkan aku menjumpai ayat yang begitu menyentap seluruh jiwa ragaku. Begini bunyinya, Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dan
kehidupan dunia ini, hanyalah permainan dan senda gurau. Sedangkan negeri
akhirat itu, sungguh lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Tidakkah kamu
mengerti?” [Al-An’am 6:32]
Allah. ‘Terasa’nya hati ini ya Allah apabila aku tadabbur ayat ini. Kuatkan hatiku untuk teruskan penulisan aku pada kali ini, barangkali ia ada manfaatnya pada mereka yang amat mendambakan maghfirah dari-Mu, insyaAllah seandainya benar Kau izinkan, walaupun aku sedar, aku terlalu jauh dari kesempurnaan, terlalu banyak kelompongan yang perlu kututupi, hanya dengan peroleh kecintaan dan kasih sayang dari-Mu, aku gagahi.
Allah,
apabila aku menghayati ayat ini, terimbau kembali segala kenangan lalu yang
pernah kau pinjamkan untukku, agar kini aku dapat muhasabah kembali diri yang
penuh dengan khilaf diri. Syurga-Mu, terlalu jauh untukku kecapi. Terlalu mulia
untuk insan sepertiku ini yang penuh dengan ribuan dosa di hati. Namun begitu,
jiwaku sungguh tidak kuat untuk menghadapi neraka-Mu yang marak apinya
menjulang tinggi. Kurniakanlah aku petunjuk, agar aku tidak lagi berada dalam
kesesatan yang panjang. Hanya dengan itu jiwaku kembali lapang. Hanya dengan
mengingati-Mu, hati akan menjadi tenang. Sungguh, janji Engkau itu pasti.
Allah,
dahulunya aku mungkin tidak seperti ini. Aku tidak pasti sama ada keikhlasan di
hati menjadi tonggak utama di dalam meraih redha Illahi dalam membuat sebarang
spekulasi, atau hanya didominasi semata-mata ikutan nafsu duniawi. Ya, sepatutnya
setiap amalan yang dilakukan hanya kerana-Mu. Hanya berobjektifkan redha
dari-Mu. Namun, kadangkala hatiku goyah, bergegar dek tipu daya iblis
laknat-Mu. Aku tertanya-tanya, apa sebenarnya yang kucari selama ini.
Kecintaan? Kebahagiaan? Kesenangan? Bila rasa bahagia, lupa segalanya. Lupa apa
sebenarnya yang sepatutnya aku utamakan. Lupa siapa yang Memberi bahagia. Lupa
untuk ucapkan kalimah Alhamdulillah sebagai tanda syukur pada-Nya. Bila rasa
dicinta, lupa siapa Pencipta cinta. Bila rasa senang, goyang kaki tanda megah
sewenang-wenang. Namun, apabila sekali jiwaku direntap dek ujian bertalu-talu,
siapa yang kucari? Siapa yang kudamba menemani setiap jaga dan malamku? Allahu
Robbi. Oh! Dahulu, terlalu prejudisnya aku terhadap setiap ujian dan dugaan
dari-Mu. Kukira ujian-Mu tanda Kau tidak sayangkan aku. Sungguh tidak adil penilaian
aku terhadap-Mu. Melulu menuduh, membuta tuli! Hinanya aku, oh Tuhanku. Tapi,
Engkau tetap Setia Menjaga dan hulurkan Senyuman Manis buatku setiap saat dan
ketika. Malunya aku Tuhan, malu sungguh aku kepada-Mu.
Sesungguhnya,
dalam sujudku, hidupku, matiku hanya untuk-Mu, Allah Tuhan yang Maha Mentadbir
Sekelian Alam, Maha Pemurah dengan Maghfirah. Allah, ingatkan aku andai aku
terlupa. Sedarkan aku dengan ayat-ayat amaran-Mu andai aku terleka.
Peluklah aku dengan kerinduan-Mu, setiap detik waktu berlalu. Lindungi qolbiku dari
rasuk tipuan duniawi. Sucikan pancainderaku dari segala kekotoran zahiri dan
batini. Tuhan, secara jujurnya, siapalah aku untuk mendambakan syurga-Mu.
Siapalah aku untuk menjadi bidadari di taman-taman syurga-Mu. Kotornya jiwaku
dek khilaf diri yang lara. Maghfirah-Mu amat kudamba. Tidak layakku rasa untuk
menapak di taman-taman syurga-Mu, namun begitu, tidak pula aku terdaya untuk
menahan siksa api neraka-Mu.
Kita
manusia biasa. Kita sering lupa dan leka. Sebab itulah kita perlu dinasihat
sentiasa. Supaya kita tidak terus terlena. Kadang-kadang manusia diuji
dengan perkara yang remeh-temeh. Tapi disebabkan tidak bersabar, mereka
terlepas peluang yang hebat. Sabar itu penting untuk mendidik diri. Aku
mula sedar diri. Aku tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Aku cuba dengan
sedikit kekuatan yang masih tersisa. Kudrat dianugerahkan yang tiada
galang-gantinya. Setiap yang soleh itu ada masa silamnya yang gelap. Dan setiap
pendosa itu sentiasa akan ada masa hadapannya yang cerah. Sebaris kata-kata
yang kukira penyuntik semangatku untuk terus bingkas bangun. Mungkin benar, seseorang
yang penuh dengan kisah silam terdahulu, tidak mustahil mempunyai masa hadapan
yang gemilang kemilaunya dan tergolong dalam kalangan orang paling bertaqwa
dengan izin Dia. Pokok pangkalnya, adalah dari hati, dia benar-benar ikhlas
memohon taubat nasuha dari-Nya, airmata yang berbaki menjadi segala saksi, dia benar-benar
serahkan jiwa dan raganya hanya untuk Tuhannya agar tidak kembali kepada
keadaan sebelumnya. Antara pintu yg paling luas di dalam Islam ialah pintu
taubat. Ia sentiasa terbuka. Maka, kembalilah kepada Allah, genggam eratlah
dengan tali Allah, empunya Al-Haq. Bukan sekadar terlantun dibibir sahaja,
biarlah di hati hadir maknanya. Allah Maha Mengetahui segala isi hati
hamba-hamba-Nya, sungguh tidak terlepas walau sesaat pun apa yang berada di
hati dan fikiran mereka, bahkan daun-daun kering yang berguguran jatuh ke bumi
dari pohon yang rendang turut berada di dalam pengetahuan Allah yang Maha
Bijaksana. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Katakanlah wahai hamba-hamba-Ku yang
melampaui batas, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya
Dia-lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [Az-Zumar 39:53]

Yang
menerima ibadah kita adalah Allah. Yang akan memberi pahalanya, Dia juga. Bukan
manusia. Jadi, pedulikan suara-suara sumbang yang berdesing di sebalik tabir
sana. Siapa mereka nak menuding jari sini sana. Umpama mereka suci dari dosa. Mafhum
dari sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, “Tidaklah seorang muslim
tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya, melainkan Allah akan menggugurkan
dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunya”. Usah persoalkan,
‘Aku lebih baik dari dia’, ‘Dia tu dulu masyaAllah, punyalah teruk’, ‘Nasib
baik aku tak terikut dia dulu, kalau tidak, habislah aku’, dan sebagainya. Segala
amalan di dunia, di bawah penilaian dan perkiraan Dia yang Maha Kaya. Usah
terlalu bongkak dan megah dengan apa yang kita ada, ia takkan kekal selamanya. Sifat
‘ujub dan riyak perlu ditepis kerana segala kehebatan hamba seharusnya
disandarkan kepada Pencipta. Allah boleh mencabut setiap satu dari nikmatnya
tanpa perlu meminta izin hamba-Nya pada bila-bila masa. Sekali sahaja Dia
berkata, ‘Kun faya Kun!’, maka jadilah ia, hilanglah segala yang
dipertahankan dahulunya, barangkali boleh musnah seluruh dunia hanya dalam
sekelip mata. Ibrahnya, jangan terlalu taksub dengan nikmat dunia yang hanya
sementara cuma kerana ianya hanyalah sebagai perisai perantaraan dari Tuhan
buat hamba-hamba-Nya bagi mereka yang berfikir akan kebesaran-Nya.
Percayalah,
ujian dan dugaan yang dititipkan adalah sebagai tanda sayang, kasih, cinta dan
rindu Pencipta kepada yang dicipta, bukan untuk mendera tapi untuk mendidik
jiwa-jiwa hamba untuk lebih menghayati erti sebenar Iman, Islam dan Ihsan. Namun
begitu, jangan dibuang terus dunia. Dunia yang sementara, tetap penting. Ia merupakan
satu destinasi bagi menentukan di mana tempat kita di akhirat kelak. Akhirat
yang kekal. Nun di sana, cita-cita kita. Nun di sana, tujuan sebenar hidup
kita. Harap dunia hanya di tangan, bukannya di hati untuk dicintai. Namun,
harapan manusia perlulah diiringi dengan usaha yang berterusan dan bertawakal
selepasnya. Jangan pula menjadi seperti pepatah Melayu, “Mendengarkan guruh
di langit, air tempayan dicurahkan”. Apa-apa sahaja yang diharapkan,
impikan atau mahukan sebenarnya bergantung kepada takdir yang ditentukan secara
mutlak oleh Allah yang telah dirancang dan ditentukan demi kebaikan umatnya.
Kembalikan
hati ini kepada Pemiliknya. Pemilik yang memiliki segala-galanya. Hanya
kepada-Nya tempatku mengubat hati dan hanya dengan kembali kepada-Nya hati
mampu dipujuk. Bagiku, cukuplah Allah sebagai Penolong, dan cukuplah Allah
sebagai sebaik-baik Pelindung. Bersungguh-sungguh kembali kepada-Nya, sehingga
sampai saat yang kita sedar dan rasai kehadiran-Nya di sisi. Apabila tiba saat
itu, tidak akan ada sesuatu yang mampu menggundahkan hati walaupun seluruh hati
membenci. Sesungguhnya kegagalan dalam kemuliaan lebih baik daripada kejayaan
dalam kehinaan.
“Ya
Allah ya Tuhanku, berikan keafiatan pada jasadku dan keafiatan pada pandanganku
dan jadikan ia barang warisan buatku. Tiada Tuhan melainkan Engkau, Tuhan yang
Maha Penyantun lagi Maha Pemurah. Maha Suci bagi Allah, Tuhan semesta alam.” [Riwayat Al-Tirmidzi]
Amiin ya Rabbal ‘Alamin. Terima kasih ya Illahi. Aku
sayangkan-Mu.








2 comments:
bukan 22 eh??
btw, bittaufiq wannajah untuk terus tabah!
Belum lagi actually. Amin ;)
Post a Comment