30 January 2015

Hujan

kala hujan
kau cari teduh
takut demam
takut sejuk

aku

aku lari dari teduh
aku lari dalam hujan

sebab

hujan itu faham
dalam diam

hujan itu memeluk
dalam sejuk

hujan itu menenang
dalam tenang

hujan itu airmata
dari atas sana..


25 January 2015

Lepaskan Kerna Tuhan

Bismillah.

Aku mulai sedar, yang hidup ini sebenarnya sebentar cuma. Pejam celik pejam celik usai 24 sudah usia. Ngeri pabila memikirkan apa sebenarnya kesudahan jiwa hamba. Apakah baik-baik sahaja atau mengundang murka Allah Yang Paling Maha. 

Terkadang, airmata terlalu murah mengalir setiap kali jiwa hamba-- merapuh. Tiada niat untuk alirkan setiap butir-butir jernih pada sosok wajah hiba. Namun, siapa aku hendak menghalangnya-- yang terlalu ikhlas teralir dari tubir mata. Pada Yang Paling Maha jualah tempat mengadu jiwa hamba yang paling lara.

Mungkin jiwa hamba sudahpun terbiasa. Terbiasa. Sekalipun tidak pernah menolak ujian yang cuba menyentuh lembut tangkai hati, apatah lagi menidakkan sosok takdir yang mencorak seluruh penghidupan insani. Berbahagialah selagi mana dalam jiwa hamba masih teruntuk-- Tuhan. Senyumlah selagi mana tangkai iman masih mekar teruntuk-- Tuhan.


Satu halnya, cukup-cukuplah bersoal-kan Tuhan mengapa dan kenapa disebalik sesuatu kejadian yang hadir menjengah mengetuk pintu hati. Usah sekali-kali dipertikai itu dan ini kerana bimbang jiwa hamba yang merapuh terus terperuk dalam keadaan ter-paling futur-- jauh sekali untuk me-redha. Bimbang hati terjerut kecewa setiap kali mengukir andaian demi andaian nafsi nafsi. 

Biarlah ia bebas sendiri. Biarlah ia terus berlari. Biarlah ia terus mewangi. Lepaskan agar tiada lukanya di hati. Lepaskan agar ia tidak terasak-asak lemas dek penantian yang tiada pasti. Lepaskan agar ia tidak busuk membangkai di sudut hati.

Kerana kasih dan sayang kau kulepaskan. Kerana rasa hormat yang mendalam kau kubiarkan terbang setinggi awan di langit. Aku masih memegang janji Tuhan yang kukira tiada pernah sekali mengecewakan jiwa, 'usah-lah bersedih duhai jiwa hamba, fa inni qarib'. Ya, dekat. Cukup dekat. Itu ter-paling membahagiakan. Biar segala rasa, biar segala hampa kusimpan kemas di penjuru kotak hati. Kerana dalam bahagiaku, kerana dalam deritaku dan kerana di setiap nafas-nafasku pastinya Tuhan tidak pernah tidak berjaya memujuk qalbi yang merelai agar bisa tertaut kembali atas nama chenta Tuhan, yang mekarnya, mewanginya-- bisa dihidu seluruh cakerawala insan. 

Terima kasih-- pernah membahagiakan.
Terima kasih-- pernah mekarkan iman.
Terima kasih-- atas setiap kenangan.
kau kusimpan dalam jagaan Tuhan.

--mekarlah, sosok iman.