Assalamu'alaikum.
Apabila datangnya Rejab, ia menandakan bulan Ramadhan akan berkunjung tiba tidak berapa lama lagi. Kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. wajib dipanjatkan di atas nikmat-Nya yang masih memilih kita untuk bertemu kembali dengan bulan Ramadhan yang mulia. In shaa Allah. Allahumma balighna fi sya'ban wa ballighna fi ramadhan. Amin. Satu bulan yang mendapat pengiktirafan khas daripada Allah S.W.T. di mana pahala kebajikan hamba-Nya dilipatgandakan berbanding bulan-bulan yang lain.
Ramadhan yang dikenali sebagai penghulu segala bulan menjanjikan kelebihan yang luar biasa serta membuka peluang seluas-luasnya untuk setiap muslim bagi memohon keampunan kepada Yang Maha Pencipta. Sesungguhnya Allah S.W.T. itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani terhadap hamba-Nya yang benar-benar ikhlas dalam mengerjakan amal ibadat. Sabda Rasululullah s.a.w dalam sebuah hadith mafhumnya :
"Sesiapa yang berpuasa bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran, diampunkan baginya segala dosa yang lalu." [Riwayat Al-Bukhari dan Muslim]
Disebabkan itu, kenikmatan serta kerinduan menunggu tibanya Ramadhan hanya akan dapat dirasai oleh jiwa yang sentiasa peka terhadap hak dan tuntutan Allah S.W.T. kepadanya. Puasa merupakan antara amal ibadat asas yang dituntut dalam Islam, sepertimana yang terkandung di dalam Rukun Islam yang 5 itu. Ia juga merupakan antara tiang asas agama yang seterusnya menjadi kayu ukur kepada tahap keimanan seorang muslim. Namun, Islam tidak pernah sesekali memberati umatnya dengan sesuatu yang tidak pernah mampu untuk ditunaikan. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :
"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, dia mendapat pahala kebaikan apa yang diusahakannya, dan dia juga menanggung dosa kejahatan apa yang diusahakannya." [Al-Baqarah :286]
Oleh itu, terdapatnya sebahagian daripada kita yang telah mendapat rukhsah puasa pada bulan Ramadhan. Dalam erti kata mudah, rukhsah puasa bermaksud kebenaran untuk meninggalkan ibadat puasa bagi mereka yang berhadapan dengan keadaan-keadaan tertentu contohnya orang yang bermusafir, wanita yang sedang dalam haid atau nifas, wanita hamil, golongan yang mempunyai masalah kesihatan mahupun pekerja yang terpaksa melakukan kerja-kerja yang terlalu berat dan menggunakan banyak tenaga dalam bulan Ramadhan.
Bagi golongan yang disebutkan tadi, rukhsah puasa bukanlah menjadi satu tiket untuk mengecualikan mereka daripada ibadat puasa secara total. Tetapi harus ingat, kewajipan menunaikan qada' (ganti) puasa haruslah diambil kira agar mereka tidak tergolong dalam kalangan hamba-hamba Allah S.W.T. yang amat rugi di kemudian hari.
Mungkin terdapat segolongan masyarakat yang amat teruja untuk melakukan amalan puasa sunat tertentu seperti mana yang dianjurkan Islam. Namun, sebenarnya menunaikan qada' puasa Ramadhan adalah lebih utama. Ibadah wajib yang ditinggalkan itu umpama 'hutang' yang wajib dilunaskan terlebih dahulu. Ini telah dijelaskan oleh Allah S.W.T. menerusi hadith qudsi mafhumnya :
"Dan tidaklah hampir kepada-Ku seorang hamba-Ku dengan apa jua pun, maka yang lebih Aku sukai adalah dia melaksanakan amalan fardhu (yang diwajibkan) ke atasnya dan sentiasalah dia ingin mendampingi-Ku dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah Aku kasih kepadanya." [Riwayat A-Bukhari]
Oleh itu, sementara kita masih mempunyai masa lebih kurang sebulan sahaja lagi sebelum tibanya bulan Ramadhan yang penuh keberkatan, bagi sesiapa sahaja yang masih lagi berhutang dengan Allah S.W.T., maka sewajarnya bersegera menunaikan qada' ibadat puasa Ramadhan yang lalu. Secara tidak langsung, ia juga boleh dijadikan medan latihan untuk kita sebelum kedatangan Ramadhan yang dirindui kelak. Latihan ini dapat memberi isyarat awal kepada anggota tubuh bada untuk berehat daripada aktiviti makan dan minum. Lebih penting lagi, ia dapat mendidik nafsu dalam memenuhi tuntutan Allah S.W.T.
'Aisyah binti Abu Bakar juga telah memberi contoh kepada kita bahawa amalan menunaikan qada' puasa Ramadhan pada bulan Sya'ban (hampir tiba bulan Ramadhan) adalah dibolehkan dalam Islam. 'Aisyah binti Abu Bakar berkata mafhumnya :
"Kewajipan ke atasku untuk puasa (qada') dari puasa bulan Ramadhan tidaklah aku menggantinya sehingga datang bulan Sya'ban." [Riwayat Muslim]
Berdasarkan hadith ini, maka jumhur (majoriti) ulama berpendapat bahawa penundaan qada' puasa wajib selewat-lewatnya hingga bulan Sya'ban dan tidak boleh sampai memasuki bulan berikutnya.
Sebenarnya keadaan yang digambarkan dalam hadith ini bukanlah bermaksud bahawa menunaikan qada' puasa Ramadhan itu tidak penting sehingga boleh dilewat-lewatkan pada saat-saat terakhir. Tetapi, ia memberi mesej bahawa berpuasa ketika waktu hampir tibanya Ramadhan dapat melatih rohani serta jasmani agar lebih aktif dan bersemangat ketika melalui Ramadhan yang bakal kunjung tiba tidak lama lagi.
Sebuah hadith riwayat Anas menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah ditanya oleh seorang sahabat baginda, mafhumnya :
"Apakah puasa yang afdal (utama) selepas puasa Ramadhan?" Lalu baginda menjawab, "Puasa bulan Sya'ban iaitu untuk memuliakan Ramadhan." [Riwayat At-Tirmidzi]
Ayuh sama-sama kita berusaha untuk melatih diri mengamalkan ibadat puasa sunat sebelum tibanya Ramadhan. Bagi mereka yang masih belum lagi menunaikan qada' puasa Ramadhan yang lalu, maka manfaatkanlah peluang ini untuk melunaskan hutang Allah S.W.T. yaaa?
Menurut Mazhab Syafie dan jumhur ulama', bagi yang gagal menunaikan qada' puasa Ramadhan yang lalu sehingga tiba Ramadhan berikutnya, maka mereka diwajibkan membayar fidyah iaitu memberi makan seorang faqir miskin untuk setiap hari puasa yang ditinggalkan, disamping kewajipan menunaikna qada' puasa yang masih lagi tertanggung di bahunya. Perli diingat ya, membayar fidyah bukanlah tiket untuk kita terlepas daripada mengqada'kan puasa yang ditinggalkan, akan tetapi fidyah itu merupakan satu bentuk denda kerana sikap kita yang melengahkan puasa ganti sehingga tiba Ramadhan yang baru.
Semoga kita semua terpilih untuk bertemu dengan Ramadhan yang baru. Amin.
*Sumber pembacaan dan rujukan : Mohd Shahrizal Nasir. 2012. Renungan Buat Pencinta Syurga : Bhg. Ibadat - Wajib Qada' Puasa Sebelum Tiba Ramadhan. Karangkraf : Selangor.







